Pengoperasian Meter laju

Arus pusar

Tolok meter laju jenis arus pusar pada sebuah kereta, menunjukkan kelajuan kereta dalam unit kilometer sejam. Juga ditunjukkan ialah takometer, yang mengukur kadar putaran aci engkol pada enjin.

Meter laju arus pusar sudah digunakan selama seabad dan masih lagi digunakan sekarang. Sebelum tahun-tahun 1980an iaitu semasa kemunculan meter laju elektronik, jenis ini adalah satu-satunya jenis meter laju yang digunakan.

Asalnya dipatenkan oleh pencipta Jerman, Otto Schulze pada 7 Oktober 1902,[2] ia menggunakan kabel boleh lentur berputar yang biasanya digerakkan melalui pautan gear pada aci keluaran sistem transmisi kenderaan. Walau bagaimanapun, model terawal kereta Volkswagen Beetle serta kebanyakan motosikal menggunakan kabel yang digerakkan dari roda hadapan.

Sebuah magnet kekal yang disambungkan pada kabel berputar bertindak balas dengan satu mangkuk aluminium kecil (dipanggil mangkuk laju) yang dipasang pada aci jarum penunjuk di papan pemuka analog. Sambil magnet berputar menghampiri mangkuk, medan magnet yang berubah menghasilkan arus pusar di dalam mangkuk, yang kemudiannya menghasilkan satu lagi medan magnet. Kesannya ialah magnet 'mengheret' mangkuk tersebut -- dan juga jarum meter laju -- pada arah putaran dengan tiada sebarang hubungan mekanikal antara keduanya.[1]

Aci jarum penunjuk dipegang ke sifar oleh satu spring halus. Kilasan mangkuk meningkat mengikut kelajuan putaran magnet (yang digerakkan oleh sistem transmisi kenderaan.) Oleh itu, peningkatan kelajuan kenderaan akan memulas mangkuk berkenaan dan seterusnya jarum meter laju melawan daya spring. Apabila kilasan daripada arus putar bersamaan dengan kilasan pada spring aci jarum penunjuk, jarum penunjuk akan berhenti bergerak dan menunjukkan angka berkenaan pada muka meter laju.

Spring kembali ditentukurkan supaya nilai kelajuan putaran kabel berkadaran dengan kelajuan tertentu pada meter laju. Penentukuran ini perlu mengambil kira beberapa faktor, seperti nisbah gear aci pacuan yang menggerakkan kabel boleh lentur, nisbah pacuan akhir gear pembeza, serta diameter tayar. Mekanisme meter laju turut menggerakkan odometer termasuk satu suis kecil yang menghantar isyarat ke unit kawalan enjin kenderaan.

Elektronik

Kebanyakan meter laju moden adalah dari jenis elektronik. Satu sensor putaran, biasanya ditempatkan di bahagian hujung sistem transmisi, menghantar satu siri denyutan elektronik yang mana kekerapannya berkadaran dengan kelajuan putaran aci pacuan. Sensor tersebut secara lazimnya adalah cakera logam bergerigi yang diletakkan di antara satu gelung dan sebuah penderia kesan Hall. Sebaik cakera tersebut berpusing, giginya melalui antara keduanya, menghasilkan satu denyutan memandangkan ia mempengaruhi kekuatan medan magnet yang diukur.[1]

Sebuah komputer menukarkan denyutan tersebut kepada kelajuan dan kemudiannya memaparkannya pada jarum penunjuk gaya analog kawalan elektronik ataupun paparan digital, yang mana menjadi lazim pada masa sekarang. Kiraan denyutan turut digunakan untuk bacaan pada odometer.

Satu lagi bentuk meter laju elektronik bergantung kepada interaksi antara mekanisme jam persis serta satu pendenyut mekanikal yang digerakkan oleh roda atau sistem transmisi kenderaan. Mekanisme jam cenderung menggerakkan jarum ke angka sifar, manakala pendenyut pula cenderung menggerakkan jarum ke infiniti. Kedudukan jarum meter laju mencerminkan hubungan magnitud di antara dua mekanisme tersebut.